Ni anim nak share satu crite dari Saiful Islam..
”Kamu bercita-cita nak jadi apa bila dewasa nanti?”, saya bertanya kepada salah seorang peserta kursus motivasi. Baru tingkatan empat.
”Saya nak jadi doktor”, jawabnya penuh yakin. ”Bagus. Kenapa nak jadi doktor?”, saya cuba menguji adik yang seorang ini.
”Saya suka menolong orang. Gembira melihat orang gembira”, katanya. ”Apa yang kamu mesti lakukan untuk memastikan kamu boleh menjadi doktor?”, saya bertanya lagi.
”Oh, kena straight A’s dalam subjek teras Sains. Biologi, Kimia, Fizik, Matematik Tambahan…”, jawabnya. “Lagi?”, saya terus bertanya.
“Ko-kurikulum kena cemerlang. Kepimpinan mesti bagus”, sambung pelajar pintar tersebut.
”Itu sahaja? Ada apa-apa lagi yang tertinggal?”, saya menyambung soalan.
”Itu sahaja rasanya. Kenapa ustaz?”, pelajar tersebut mula rasa kurang selesa.
”Tadi kamu kata kamu suka menolong orang lain. Semua persediaan yang kamu sebutkan tadi, adalah untuk kamu menolong orang lain. Tetapi kamu tidak boleh menolong orang lain sebelum kamu menolong diri kamu sendiri!”, saya berkongsi pandangan.
”Maksud ustaz?”, pelajar tersebut semakin bingung. ”Bagaimana dengan kemahiran memasak? Mengemas rumah? Melipat kain? Melayan kanak-kanak?”, saya melontar idea.
”Apa kena mengenanya semua itu dengan menjadi seorang doktor?”, tanya pelajar tersebut.
”Satu hari nanti, kamu tentu akan berkeluarga. Berkahwin dan beranak pinak. Kalau kamu hanya cekap menolong orang lain sebagai seorang doktor, tetapi gagal menolong diri sendiri sebagai seorang isteri dan ibu, akhirnya kehidupan kamu akan tunggang langgang. Orang lain Baiti Jannati. Kamu nanti Baiti Naari! Naudhubillah”, saya membuat kesimpulan.
”Betul ke ustaz?”, tanya pelajar tersebut.
”Ya, semasa isteri saya menghadiri temuduga Master untuk menjadi doktor pakar, soalan yang ditanya oleh penemuduga, semuanya tentang rumahtangga. Bila rancang nak ada anak ketiga, suami dah pandai masak atau tidak dan sebagainya”, saya tersenyum.
Kisah di atas berlaku beberapa kali semasa saya mengendalikan kursus motivasi untuk pelajar sekolah. Mereka mesti dibantu untuk melihat kehidupan seorang doktor secara menyeluruh. Jangan hanya lihat pada kod putih dan stethescopenya sahaja.
Hari ini mudah benar anak dara pergi ke universiti dan seterusnya menjadi seorang doktor, jurutera dan lain-lain, dalam keadaan satu apa pun skill rumahtangga tidak diketahuinya. Semuanya diuruskan oleh bibik dan supir. Yang lelaki usah kiralah…
Para pelajar yang kaya A hari ini, mesti dibantu untuk melihat keseluruhan hidupnya di masa hadapan. Jangan hanya bijak akademik tetapi tidak bersedia menempuh realiti hidup. Untuk menjadi seorang yang berjaya di masa hadapan, bukan hanya akademik yang jadi bekalan. Sikap, kemahiran hidup dan kematangan dalam membuat keputusan harian, adalah sesuatu yang sering hilang prioriti. Oleh itu, gambaran akhir terhadap sesuatu itu mesti diambil kira.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
0 Comments:
Post a Comment