:: Setia Bersama Selamanya ::

Daisypath Anniversary tickers

Konsep Blog

Blog ini hanya memaparkan kisah hidup dua insan yang menyulam cinta dalam keredhaan-NYA.. kurang dari sudut agama, fakta sains atau politik mahupun lucah.. blog direka hanya untuk menyimpan kemas segala kenangan kehidupan seharian yang semakin hari semakin hilang dari ingatan.. mengambil kata2 dari seorang pendakwah, "tulislah pengalaman itu, demi anak2 mu.."

Thursday, November 13, 2008

Fahami fikiran anak bila mendidik

MENDIDIK anak perlu bersandarkan pengetahuan, kerana meniru didikan dari keluarga yang kita anggap cemerlang semata-mata tanpa menyesuaikan dengan keluarga serta kemampuan diri, anda hanya dianggap sebagai ibu bapa yang tidak berpendirian.

Didikan awal kanak-kanak amatlah penting kerana ia membawa kepada corak peribadinya pada masa depan. Mustahaknya aspek itu menyebabkan Islam amat menitikberatkan didikan anak-anak dan menggalakkan ibu bapa melalui kehidupan yang sempurna.

Malah Imam Al-Ghazali pernah menyatakan: "Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri daripada keadaan sesak itu."

Dalam hal ini, biarlah anak kecil bebas melakukan apa yang mereka suka, asalkan tidak memudaratkan diri dan orang lain serta berfaedah untuknya, namun kegiatan itu perlu dipastikan agar tidak melanggar syariat Islam.

Malangnya, segelintir ibu bapa hari ini masih kurang memahami aspek didikan menjadikan anak keliru mengenai kewujudan dirinya dalam keluarga.

Pakar Psikiatrik Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Selayang, Dr Fauzi Ismail berkata, beberapa ciri keibubapaan yang dikenal pasti diamalkan hari ini ialah mengarah, menyekat, membenarkan dan mendidik.

Jelasnya, ibu bapa yang mengarah selalunya berpunca dari ibu bapa yang tidak bersedia menimbang anak menyebabkan kehadiran mereka dianggap tidak penting, sementara ibu bapa yang gemar menyekat cenderung mengongkong apa yang dilakukan anak hingga menyebabkan segala tindakan dilakukan anak-anak, semuanya tidak betul malah mudah menghukum.

Keibubapaan yang membenarkan pula turut menimbulkan kemudaratan apabila membenarkan segala tindakan anak tanpa berfikir panjang sama ada sesuatu tindakan dilakukan itu baik atau sebaliknya. Keibubapaan yang terbaik ialah membimbing dan memberikan tunjuk ajar, menghukum apabila silap tetapi memberikan kebebasan apabila perlu.

"Didikan dianggap aspek paling penting kerana ia adalah corak awal membentuk keperibadian mereka yang dibawa sehingga ke dewasa. Selalu orang berkata, 'alah... budak-budak, biasalah kena marah kalau tidak mereka tidak belajar.' Sebenarnya, kanak-kanak boleh dimarah tetapi marah pun perlu diiringi kemahiran kerana jangan sampai anak menyangka ibu bapa marah kerana membencinya, bukan marah kerana ingin memperbetulkan kesilapannya.

"Walaupun segelintir anak, secara luarannya nampak selamba dan tidak kisah bila dimarah tetapi jangan terkejut kerana ada segelintir yang menyimpan dendam, menyimpan pemikiran ibu bapa membencinya hingga menyebabkan apabila dewasa, mereka enggan berjumpa ibu bapanya sendiri," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Menjadi Ibu Bapa Yang Baik pada Seminar Ke Arah Menjadi Ibu Bapa dan Guru Mithali baru-baru ini.

Seminar sehari itu anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (1) Sultan Alam Shah, Petaling Jaya dan program Positive Parenting, Persatuan Pediatrik Malaysia.

Beliau berkata, didikan yang kurang sempurna boleh memberi kesan kepada anak membabitkan keyakinan diri yang rendah menyebabkan selalu ketinggalan di dalam kelas dan mempunyai masalah disiplin.

Sebaliknya didikan sempurna mampu merapatkan hubungan kekeluargaan serta melahirkan anak yang ceria dan cemerlang, serta yakin terhadap kemampuan diri kerana sering di berikan sokongan moral.

"Ibu bapa selalu tersalah anggap menyatakan anak tidak memahami apa yang mereka lalui hingga menyebabkan mereka cenderung menipu. Sebagai contoh andai seorang ibu menitiskan air mata kerana dikasari suami, anda boleh katakan 'Mak menangis sebab dimarahi suami,' Kenyataan itu sudah cukup walaupun tidak menerangkan sebab dimarah, tetapi yang paling penting, jangan menipu. Jangan menitipkan elemen menipu dalam keluarga kerana kesannya buruk sekali," katanya.

Selain aspek didikan, apa yang dipertontonkan anak turut mempengaruhi mereka seperti televisyen dan komputer. Kotak hiburan itu sebenarnya mampu dikawal ibu bapa asalkan mereka mengambil berat apa yang dipertontonkan anak membabitkan bahan yang ditonton serta jumlah masa yang diberikan.

"Program bercorak hiburan dan keseronokan semata-mata tanpa menyisipkan elemen ilmu hanya membuang masa. Program seperti realti TV yang semakin digilai kini juga harus dperhalusi kerana bukan semua yang dilihat mendatangkan manfaat. Namun dalam mendidik anak-anak ibu bapa seharusnya juga mencermin diri sendiri. Andai anak dilarang menonton terlalu lama, ibu bapa juga seharusnya mengehadkan masa menonton. Jangan menjadi mangsa TV.

"Ibu bapa perlu sedar andai mereka ingin membentuk anak menjadi sempurna, ia perlu dimulakan dari dalam diri sendiri. Berkasih sayanglah sesama sendiri kerana kasih sayang itu mampu diluahkan dan diterapkan dalam diri anak-anak," katanya.

FAKTA Mendidik anak

Kurangkan hukuman fizikal kerana ia hanya menyakitkan, tetapi kurang berkesan mendidik. Andai anak melakukan kesilapan yang perlu diberikan denda, jelaskan erti kesilapan mereka dan kenapa denda itu perlu dilakukan, seperti "Kita mempunyai undang-undang dalam keluarga yang tidak membenarkan pulang lewat dari jam tujuh malam, dan ia perlu dipatuhi..." dan anak-anak akan menerima kesilapan itu kerana ia sudah tahu melanggar peraturan dengan pulang pada jam 10 malam.

Hukuman boleh dikenakan kepada anak-anak sebagai pengajaran tetapi beberapa perkara perlu diambil kira iaitu jangan marah ketika kita berada dalam keadaan marah; mengherdik mereka di hadapan orang ramai atau kawan-kawannya; jangan marahkan mereka kerana dirinya sebaliknya atas kesalahan yang dilakukan.

Ibu bapa jangan terlalu berharap mendapat anak yang sempurna dari segala segi kerana adalah sesuatu yang biasa andai melakukan kesilapan apatah lagi memang manusia tidak sempurna. Ia amat bergantung kepada sejauh mana kemampuan ibu bapa itu sendiri.

Matlamat disiplin ialah untuk mengawal dan membentuk peribadi anak dengan sempurna. Ada ibu bapa yang gembira andai mampu menjadikan anak bagai 'alat kawalan jauh' tetapi pernahkah kita terfikir adakah itu yang kita mahukan sedangkan anak mengikut kerana takut, bukan hormat?



[NOTA: Semoga anim dapat menjadi ummi yang solehah buat anak2 nanti.. Hehe * nota yang gatal *]

0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online